Dalam Republik Rakyat China Sejarah_Tibet

Sami-sami di Drepung, Tibet.

Kerajaan Komunis China yang diketuai oleh Mao Zedong yang bangkit untuk berkuasa pada Oktober 1949 tidak menghabiskan banyak masa untuk menguatkuasakan tuntutannya terhadap Tibet. Pada tahun 1950, Tentera Pembebasan Rakyat memasuki kawasan Chamdo di Tibet dan menghancurkan tentangan daripada tentera Tibet yang tidak dilengkapkan secukupnya. Pada tahun 1951, wakil-wakil Cina di Beijing menyampaikan kepada wakil-wakil Tibet sebuah Perjanjian Tujuh Belas Perkara  yang menegaskan kedaulatan China terhadap Tibet. Perjanjian itu diratifikasi di Lhasa beberapa bulan kemudian. [53]

Kerajaan Cina pada mula-mulanya mencuba membaharui sistem sosial atau keagamaan Tibet di Ü-Tsang. Kham timur dan Amdo masing-masing digabungkan ke dalam provinsi-provinsi Sichuan dan Qinghai, manakala Kham barat diletakkan di bawah Jawatankuasa Ketenteraan Chamdo. Di kawasan-kawasan itu, reformasi tanah dilaksanakan. Ini melibatkan para pejuang komunis menamai "pemilik tanah" — kekadang dipilih secara sembarangan — untuk penghinaan awam dalam "sesi-sesi perjuangan".

China membina sebatang lebuh raya yang terbentang ke Lhasa dan kemudian ke sempadan-sempadan India, Nepal, dan Pakistan. Golongan bangsawan dan kerajaan Tibet yang tradisional dikekalkan dan diberikan subsidi oleh kerajaan Cina. Bagaimanapun pada dekad 1950-an, pemerintahan Cina beransur-ansur bersifat lebih menindas terhadap para Lama yang melihat kuasa sosial dan politik mereka akan dihapuskan oleh pemerintahan Komunis pada akhirnya. Sebelum tahun 1959, tanah Tibet dikerjakan oleh para hamba yang mewakili kebanyakan orang Tibet.

Menjelang pertengahan dekad 1950-an, terdapat pergolakan di Kham timur dan Amdo yang reformasi tanah telah dilaksanakan dengan sepenuhnya. Pemberontakan-pemberontakan ini kemudian merebak ke Kham barat dan Ü-Tsang. Pada tahun 1959 (ketika Lompatan Agung ke Depan di China), pihak berkuasa Cina memperlakukan Dalai Lama (yang ketika itu telah menjadi orang dewasa) dengan tidak beriman secara terbuka. Di sebilangan bahagian Tibet, para komunis Cina cuba menubuhkan komun-komun luar bandar, seperti yang dilakukan di seluruh China. Peristiwa-peristiwa itu mencetuskan rusuhan-rusuhan di Lhasa yang kemudian mengakibatkan pemberontakan besar-besaran.

Gerakan penentangan Tibet bermula dengan penentangan terpencil terhadap kawalan Republik Rakyat China pada akhir dekad 1950-an. Pada mula-mulanya, mereka mencapai banyak kejayaan dengan bantuan CIA. Kebanyakan kawasan Tibet selatan jatuh ke dalam tangan pemberontak tetapi pada tahun 1959, dengan pendudukan Lhasa oleh China, angkatan penentang berundur ke Nepal. Operasi-operasi diteruskan dari Kemaharajaan Mustang separa merdeka dengan sebuah angkatan yang terdiri daripada 2,000 orang pemberontak, banyak daripada mereka dilatih di Kem Hale, berdekatkan Leadville, Colorado, Amerika Syarikat. Dalam tahun 1969, pada hari sebelum Henry Kissinger membuat percubaan untuk mendekati China, bantuan Amerika Syarikat ditarik balik dan kerajaan Nepal menghapuskan operasinya. Sila lihat laman web Naatanet.

Selepas pemberontakan di Lhasa dihancurkan, Dalai Lama melarikan diri ke India, walaupun penentangan masih diteruskan di bahagian-bahagian Tibet yang lain sehingga bertahun-tahun kemudian. Walaupun Dalai Lama dikekalkan sebagai tawanan yang sebenar, China melantik Panchen Lama sebagai raja boneka di Lhasa dan mendesak bahawa beliau merupakan ketua Kerajaan Tibet yang sah semasa ketiadaan Dalai Lama, ketua tradisional bagi kerajaan Tibet. Pada tahun 1965, kawasan yang berada di bawah penguasaan kerajaan Dalai Lama antara dekad 1910-an sehingga tahun 1959 (Ü-Tsang dan Kham barat) dijadikan sebagai sebuah kawasan autonomi, iaitu Kawasan Autonomi Tibet atau TAR. Autonomi itu memperuntukkan jawatan ketua kerajaan Tibet kepada seorang yang berasal daripada kelompok etnik Tibet; bagaimanapun, kuasa de facto TAR dipegang oleh seorang setiausaha agung Parti Komunis Tibet yang sehingga tahun 2006, selalu merupakan orang Cina Han dari luar Tibet. Peranan ahli-ahli daripada kelompok etnik Tibet di peringkat-peringkat Parti Komunis Tibet yang lebih tinggi masih agak terhad, walaupun terdapat kejayaan kader-kader Tibet seperti Raidi dan Pasang.

Semasa pertengahan dekad 1960-an, ladang-ladang biara dipecah belah, dan pendidikan sekular diperkenalkan. Semasa Revolusi Kebudayaan, para Pengawal Merah yang termasuk ahli-ahli Tibet, memulakan sebuah kempen laku musnah terhadap tapak-tapak kebudayaan di seluruh kawasan Republik Rakyat China, termasuk warisan Buddhisme Tibet. Antara beribu-ribu buah biara, melebihi 6,000 buah dimusnahkan, dengan hanya sebilangan kecil yang tidak mengalami sebarang kemusnahan besar. Banyak sami dan biarawati dibunuh atau dipenjarakan.

Walaupun terdapat reformasi ekonomi di Tibet sejak dari tahun 1979, tidak adanya reformasi politik, sebagaimana dengan kawasan-kawasan Republik Rakyat China yang lain. Sebilangan dasar China dihuraikan sebagai sederhana, manakala yang lain dianggap sebagai lebih bersifat menindas. Kebanyakan kebebasan agama telah dipulihkan secara rasmi, asalkan para Lama tidak mencabar pemerintahan Republik Rakyat China. Orang-orang asing boleh melawat kebanyakan tempat di Tibet, tetapi aspek-aspek pemerintahan Republik Rakyat China yang tidak begitu baik disembunyikan daripada para pelancong.

Pada tahun 1989, Panchen Lama mangkat, dan Dalai Lama serta China mengiktiraf jelmaan-jelmaan yang berbeza. Dalai Lama menamakan Gedhun Choekyi Nyima sebagai Panchen Lama ke-11, tetapi tanpa pengesahan daripada loteri pasu, manakala China menamakan lagi seorang kanak-kanak, iaitu Gyancain Norbu, melalui loteri pasu. Gyancain Norbu dibesarkan di Beijing dan kekadang muncul dalam media negara, manakala di mananya Gedhun Choekyi Nyima dan keluarganya tidak diketahui. Orang-orang buangan Tibet mengatakan bahawa mereka dipenjarakan, manakala Beijing menegaskan bahawa mereka hidup di bawah sebuah identiti rahsia atas alasan perlindungan serta keadaan bersendirian tanpa gangguan.

Dalai Lama kini (2007) berumur 71 tahun dan ketika beliau mangkat, seorang Dalai Lama kanak-kanak yang baru harus dicari, menurut tradisi Tibet. Pada tahun 1997, Dalai Lama ke-14 membayangkan bahawa jelmaannya "pasti tidak akan berasal daripada kawasan yang dikuasai China; ia akan ditemui di luar, di dunia bebas."

Republik Rakyat China masih menggambarkan pemerintahannya di Tibet sebagai suatu pembaikan yang benar-benar, berbanding dengan zaman feudalisme Tibet sebelum tahun 1950, dengan sebilangan kerajaan asing masih membuat bantahan sekali-sekala terhadap aspek-aspek pemerintahan China di Tibet. Bagaimanapun, semua kerajaan (sebagai ahli-ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) mengiktiraf kedaulatan Republik Rakyat China terhadap Tibet, dan tidak adanya sebarang negara di dunia yang mengiktiraf kerajaan Dalai Lama dalam buangan di India. Dalai Lama dihormati secara meluas sebagai seorang pemimpin agama, dan diterima mengadap oleh kerajaan-kerajaan asing sedemikian, tetapi para pemerhati dan juruanalisis hal-ehwal Tibet mempercayai bahawa beliau tidak mungkin akan memerintah di Lhasa lagi.

Rujukan

WikiPedia: Sejarah_Tibet http://www.tibet.ca/wtnarchive/1997/6/3-2_1.html http://www.china.org.cn/english/tibet-english/lish... http://www.canonymous.com/press/ecritique2/part2.h... http://taylorandfrancis.metapress.com/link.asp?id=... http://www.tibet.com/ http://www.mssu.edu/projectsouthasia/history/prima... http://www.mssu.edu/projectsouthasia/history/prima... http://cc.purdue.edu/~wtv/tibet/article/art4.html http://www.historyofnations.net/asia/tibet.html http://www.newleftreview.net/NLR24805.shtml